Suatu hari ketika Imam Abu
Hanifah sedang berjalan-jalan melalui sebuah rumah yang jendelanya masih
terbuka, terdengar oleh beliau suara orang yang mengeluh dan menangis
tersedu-sedu. Keluhannya mengandungi kata-kata, "Aduhai, alangkah
malangnya nasibku ini, agaknya tiada seorang pun yang lebih malang dari nasibku
yang celaka ini. Sejak dari pagi belum datang sesuap nasi atau makanan pun
di kerongkonganku sehingga seluruh badanku menjadi lemah lunglai. Oh, manakah
hati yang belas ikhsan yang sudi memberi curahan air walaupun setitik."
Mendengar keluhan itu, Abu
Hanifah berasa kasihan lalu beliau pun balik ke rumahnya dan mengambil
bungkusan hendak diberikan kepada orang itu. Sebaik sahaja dia sampai ke rumah
orang itu, dia terus melemparkan bungkusan yang berisi uang kepada si malang
tadi lalu meneruskan perjalanannya.Pada saat itu, si malang merasa terkejut
setelah mendapati sebuah bungkusan yang tidak diketahui dari mana datangnya,
lantas beliau tergesa-gesa membukanya. Setelah dibuka, nyatalah bungkusan itu
berisi uang dan secebis kertas yang bertulis, " Hai manusia, sungguh tidak
wajar kamu mengeluh sedemikian itu, kamu tidak pernah atau perlu mengeluh
diperuntungkan nasibmu. Ingatlah kepada kemurahan Allah dan cobalah bermohon
kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh. Jangan suka berputus asa, hai kawan,
tetapi berusahalah terus."
Pada keesokan harinya, Imam
Abu Hanifah melalui lagi rumah itu dan suara keluhan itu kedengaran lagi,
"Ya Allah Tuhan Yang Maha Belas Kasihan dan Pemurah, sudilah kiranya
memberikan bungkusan lain seperti kemarin,sekadar untuk menyenangkan hidupku
yang melarat ini. Sungguh jika Tuhan tidak beri, akan lebih sengsaralah
hidupku, wahai untung nasibku."
Mendengar keluhan itu lagi,
maka Abu Hanifah pun lalu melemparkan lagi bungkusan berisi uang dan secebis
kertas dari luar jendela itu, lalu dia pun meneruskan perjalanannya. Orang itu
terlalu riang sebaik sahaja mendapat bungkusan itu. Lantas terus membukanya.
Seperti dahulu juga, di
dalam bungkusan itu tetap ada cebisan kertas lalu dibacanya, "Hai kawan,
bukan begitu cara bermohon, bukan demikian cara berikhtiar dan berusaha.
Perbuatan demikian 'malas' namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan
Allah. Sungguh tidak redha Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa, enggan
bekerja untuk keselamatan dirinya. Jangan….jangan berbuat demikian. Hendak
senang mesti suka pada bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin
datang sendiri tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup tidak perlu atau
disuruh duduk diam tetapi harus bekerja dan berusaha. Allah tidak akan
perkenankan permohonan orang yang malas bekerja. Allah tidak akan mengkabulkan
doa orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk
kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedapat mungkin dengan pertolongan Allah.
Insya Allah, akan dapat juga pekerjaan itu selama kamu tidak berputus asa.
Nah…carilah segera pekerjaan, saya doakan lekas berjaya."
Sebaik sahaja dia selesai
membaca surat itu, dia termenung, dia insaf dan sedar akan kemalasannya yang
selama ini dia tidak suka berikhtiar dan berusaha.
Pada keesokan harinya, dia
pun keluar dari rumahnya untuk mencari pekerjaan. Sejak dari hari itu, sikapnya
pun berubah mengikut peraturan-peraturan hidup (Sunnah Tuhan) dan tidak lagi
melupai nasihat orang yang memberikan nasihat itu.
Dalam Islam tiada istilah
pengangguran, istilah ini hanya digunakan oleh orang yang berakal sempit. Islam
mengajar kita untuk maju ke hadapan dan bukan mengajar kita tersadai di tepi
jalan.

Tidak ada komentar:
Posting Komentar