Dalam sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Luqman Hakim, menceritakan pada suatu hari ada seorang telah
datang berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. kerana hendak memeluk agama Islam.
Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata :
"Ya Rasulullah.
Sebenarnya hamba ini selalu sahaja berbuat dosa dan payah hendak
meninggalkannya." Maka Rasulullah menjawab : "Mahukah engkau berjanji
bahawa engkau sanggup meninggalkan cakap bohong?"
"Ya, saya berjanji"
jawab lelaki itu singkat. Selepas itu, dia pun pulanglah ke rumahnya.
Menurut riwayat, sebelum
lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat terkenal sebagai seorang yang jahat.
Kegemarannya hanyalah mencuri, berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah
dia memeluk agama Islam, dia sedaya upaya untuk meninggalkan segala keburukan
itu. Sebab itulah dia meminta nasihat dari Rasulullah S.A.W.
Dalam perjalanan pulang dari
menemui Rasulullah S.A.W. lelaki itu berkata di dalam hatinya :
"Berat juga aku hendak
meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah itu."
"Berani engkau berbuat
jahat. Apakah jawaban kamu nanti apabila ditanya oleh Rasulullah. Sanggupkah
engkau berbohong kepadanya" bisik hati kecil. Setiap kali dia berniat
hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala pesan Rasulullah S.A.W. dan
setiap kali pulalah hatinya berkata :
"Kalau aku berbohong
kepada Rasulullah bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya
jika aku bercakap benar bererti aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam.
Oh Tuhan....sesungguhnya di dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah
hikmah yang sangat berharga."
Setelah dia berjuang dengan
hawa nafsunya itu, akhirnya lelaki itu berjaya di dalam perjuangannya menentang
kehendak nalurinya. Menurut hadis itu lagi, sejak dari hari itu bermula babak
baru dalam hidupnya. Dia telah berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup
seperti yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W. Hingga ke akhirnya dia telah
berubah menjadi mukmin yang sholeh dan mulia.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar